Pekerja kurier didakwa menipu diculik, miliki peluru tanpa permit

Pekerja kurier didakwa menipu diculik, miliki peluru tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melibatkan penipuan memperdaya bekas teman wanita serta memiliki peluru tanpa permit.

Tertuduh, Muhamad Zulkifli Azizan, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan duda dua anak didakwa dengan curangnya memperdaya bekas teman wanitanya yang berusia 21 tahun supaya mempercayai dia telah diculik. 

Namun, siasatan mendapati penculikan itu tidak berlaku dan rakaman video yang dihantar hanyalah rekaan semata-mata.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Jalan Labu Banting, Guar Perahu, Bukit Mertajam kira-kira jam 10.30 malam pada 28 Mei lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sembilan butir peluru kaliber SME 5.56 mm blank buatan Malaysia tanpa permit sah. Peluru itu ditemui di sebuah rumah di Bertam Perdana, Kepala Batas kira-kira jam 6.20 petang pada bulan Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, mencadangkan jaminan sebanyak RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh berpendapatan sekitar RM3,000 dan menyara dua anak serta ibunya yang sakit.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN