Keputusan bela diri atau bebas Yusoff Rawther esok

Keputusan bela diri atau bebas Yusoff Rawther esok

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Esok, Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan sama ada bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther akan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan atau dipanggil membela diri bagi kedua-dua dakwaan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya dipanggil membela diri, Muhammed Yusoff mempunyai pilihan sama ada akan memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi dan boleh disoal balas oleh pendakwaan atau keterangan bela diri daripada kandang tertuduh.

Sekiranya, Muhammed Yusoff memberi keterangan daripada kandang tertuduh, dia tidak boleh disoal balas oleh pendakwaan dan keterangannya juga tidak akan diambil kira oleh mahkamah. Tertuduh itu juga boleh memilih untuk berdiam diri.

Pada 28 April lalu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman menutup kes mereka selepas saksi ke-13, Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zuhairi Md. Zuhir daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selesai memberi keterangan.

Turut dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 7 April lalu ialah Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali daripada Bahagian Risikan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan ahli kimia Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Pada prosiding itu, pendakwaan turut memaklumkan pihaknya menawarkan tujuh orang saksi pendakwaan kepada pembelaan.

Sepanjang perbicaraan itu, Muhammed Yusoff diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September tahun sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Oktober 2024, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan itu di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 12 November 2024, kedua-dua kes itu dibenarkan untuk dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN