SEREMBAN: Seorang mekanik motosikal dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap anak perempuan teman wanitanya.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohamad Shahrizal Rahmat, 33, selepas menerima pengakuan bersalahnya, fakta kes dan rayuan yang dikemukakan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menetapkan hukuman penjara enam tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun yang mana kedua-duanya berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 7 Jun lalu.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh menjalani sesi kaunseling dan perintah pengawasan polis selepas hukuman tamat.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia 16 tahun 10 bulan ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Sendayan, di sini, Mac lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menghubungi mangsa sama secara kerap bagi tujuan seksual di lokasi sama dari 14 Mei hingga 29 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta 792 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu sebanyak dua kali di sebuah rumah ketika ketiadaan ibu mangsa yang keluar bekerja.
Remaja perempuan itu menceritakan kejadian kepada ibunya, namun diminta supaya mendiamkan diri sebelum memberanikan diri memaklumkan peristiwa kepada bapa kandung dan bapa saudaranya. – UTUSAN