KLANG: Tiga penyangak geng ‘Along’ yang ditahan kerana mencuri kenderaan sekitar daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan tersebut termasuk menyimpan harta curi.
Tertuduh, Tomi Andhika Kosnanto dan Mohd. Haffi Mohamad masing-masing berdepan dua pertuduhan sementara Muhammad Razahin Zalan pula satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Wan Khushairi Wan Roslei.
Berdasarkan pertuduhan Tomi Andhika, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) iaitu melakukan rompak terhadap seorang wanita dengan merompak sebuah kereta jenis Proton Iriz di Teluk Gadong, kira-kira pukul 8.30 pagi, 19 Mac lalu. Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat.
Penganggur itu turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 414 KK dan mengaku salah menyembunyikan sebuah motosikal curi jenis Honda C100 yang diketahui sebagai harta curi pada 28 Disember tahun lalu dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mohd. Haffi, 40, pula mengaku salah menyembunyikan sebuah Perodua Kancil berwarna perak dekat rumah flat di Bukit Tinggi kira-kira pukul 2 pagi, pada 11 April lalu dan menyimpan rangka sebuah kereta model sama kira-kira pukul 12.30 tengah hari, pada 23 April lalu di Kampung Delek Kiri.
Pada prosiding tersebut, dia dituduh di bawah Seksyen 414 KK dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 masing-masing membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM1,000.
Sementara Muhammad Razahin, 25, mengaku salah menyembunyikan kereta curi jenis Proton Saga berwarna perak kira-kira pukul 3.30 pagi, pada 19 April lalu dekat Kampung Rantau Panjang dan dituduh di bawah Seksyen 414 KK.
Timbalan Pendakwa Raya, Sulfie Abu Hassan dan Nur Nadia Syuhada Rosli kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 hingga RM7,000 mengikut berat kesalahan selepas memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan, mengemukakan fakta kes dan jatuh hukum.
Bagaimanapun, peguam mewakili ketiga-tiga tertuduh, daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), James Chan memohon jaminan dikurangkan kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap selain tinggal dengan keluarga serta menjaga orang tua yang uzur.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret kemudian membenarkan masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,500 hingga RM6,000 dan menetapkan tarikh prosiding susulan pada 11, 23 dan 30 Jun. – UTUSAN