KOTA BHARU: Seorang pekerja syarikat kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya yang sedang hamil di bilik tidur sebuah rumah di Kampung Buloh Poh, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Aniq Haikal Amirudin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 19 tahun, di bilik tidur rumah tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 16 Januari lalu.
Aniq Haikal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Nazriani Nik Ab Rahman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Ahmad Nabil mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Dalam rayuannya, Nik Nazriani memohon agar tertuduh diikat jamin dengan jumlah minimum memandangkan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung isterinya yang sedang hamil.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










