KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti di Singapura didenda sebanyak RM17,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menipu ibu rakannya kononnya anak wanita berkenaan telah diculik sebelum menuntut wang tebusan sebanyak RM2.9 juta.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zhang Runbao, 23, menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan semula kepadanya semasa sebutan kes itu hari ini.
Mahkamah turut menetapkan penjara enam bulan sekiranya Runbao gagal bayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pilihan, Runbao didakwa menipu Cheng Zhiwen yang merupakan ibu rakannya, Ye Yingxi dengan membuat panggilan dan menunjukkan video memaparkan anaknya dalam keadaan separuh bogel, tangannya diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat, lehernya dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang dengan air.
Runbao kemudian meminta wang tebusan daripada Zhiwen sebanyak 5 juta yuan (RM2.9 juta) untuk dimasukkan ke dalam satu akaun di China.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 11.44 pagi dan 9.15 malam, 2 Mei lalu di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Pertuduhan dikemukakan Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada 13 Mei lalu, Runbao didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.
Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh agar masyarakat umum tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
Bagaimanapun, peguam bela, Ernie Sulastri Ahmad yang mewakili Runbao memohon hukuman yang rendah diberikan kepada anak guamnya kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.
Sementara itu, peguam bela, Ramesh Sivakumar yang mewakili Yingxi merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan selepas ibu Yingxi yang juga pengadu enggan meneruskan kes dan telah menarik balik laporan polis terhadap anaknya.
Selepas mendengar hujahan, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan Yingxi dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Pada 13 Mei lalu, dua penuntut itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Zhiwen (ibu Yingxi) dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.
Pada tarikh itu, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai. – UTUSAN