Universiti tidak lagi terhad di kampus - Zambry

Universiti tidak lagi terhad di kampus – Zambry

ZAMBRY Abd. Kadir melawat reruai pameran selepas merasmikan Persidangan Public - Private Research Network (PPRN) 2026 di Whyndham Grand Bangsar. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Landskap pendidikan tinggi negara bakal berubah apabila konsep universiti tidak lagi terhad di dalam kampus, sebaliknya diperluas ke sektor industri bagi melahirkan graduan lebih kompeten dan relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pendekatan baharu itu penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan global yang pesat.

Katanya, konsep universiti kini perlu bergerak seiring dengan keperluan industri dengan menjadikan sektor tersebut sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran.

“Universiti bukan lagi hanya berada di kampus, tetapi juga perlu berada di dunia industri. Bagaimana hubungan antara industri dan universiti itu dapat diasaskan, diperkukuhkan dan dikembangkan.

“Perubahan itu juga selari dengan usaha kerajaan untuk merangka semula sistem pendidikan tinggi negara agar lebih fleksibel dan berorientasikan keperluan semasa.

“Pendekatan tersebut termasuk pelaksanaan model pengajian yang membolehkan pelajar mengikuti sebahagian pembelajaran di universiti dan selebihnya di industri seperti konsep dua tahun di universiti dan dua tahun di industri (2u2i),” katanya ketika berucap pada Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di Wyndham Grand Bangsar, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry turut menegaskan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan sektor industri perlu diperkukuhkan bagi mewujudkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih mantap.

Katanya, sinergi tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui hasil penyelidikan yang lebih berimpak.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pihak industri tampil bekerjasama dengan universiti dalam membangunkan program pengajian serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada negara secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN