Peniaga makanan menyamar polis didakwa rogol siswi

Peniaga makanan menyamar polis didakwa rogol siswi dalam kereta

MUHAMAD Shafiq Asyraf Jasarudin (dua dari kiri) dan Muhamad Nazhim Razali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merogol seorang pelajar universiti, melakukan pemerasan dan menyamar sebagai anggota polis. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua peniaga makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar universiti secara berkumpulan, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Asyraf Jasarudin, 23, dan Muhamad Nazhim Razali, 29, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan berusia 19 tahun tanpa kerelaan mangsa dalam kereta berhadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Bukit Rambai Utama dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 9 dan 10 malam pada 22 Mei 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (KK).

Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 384 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana melakukan pemerasan terhadap mangsa sama dan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan cara mengugut untuk mencederakan, jika tidak diberikan wang berjumlah RM3,000 yang menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM50.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Taman Nirwana dalam daerah Melaka Tengah pada waktu dan tarikh sama.

Muhamad Shafiq Asyraf dan Muhamad Nazhim juga didakwa telah bertindak secara bersama-sama menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di kawasan lapang Pantai Klebang dalam daerah Melaka Tengah pada masa dan tarikh sama.

Dua rakan itu berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 170 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM60,000 seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu kedua-dua mangsa.

Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili Muhamad Nazhim merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya bekerja sebagai penjual makanan tepi jalan dan perlu menanggung ibu bapa yang menghidap masalah kesihatan.

Peguam K. Shareveen mewakili Muhamad Shafiq Asyraf turut membuat rayuan sama dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil dengan berniaga menjual takoyaki.

Mahkamah membenarkan jaminan RM13,000 seorang bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, hadir setiap kali sebutan kes dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menetapkan 7 Julai ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN