PUTRAJAYA: Kira-kira pukul 9 pagi nanti, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada Peguam Negara boleh merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum.
Titah Adendum tersebut berkait dengan perintah agar Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan berkait penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.
Hukuman enam tahun penjara itu diberikan Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu yang asalnya dikenakan hukuman penjara 12 tahun.
Turut dikurangkan ialah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 24 Mac lalu, panel diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah telah mendengar hujahan pihak-pihak terlibat termasuk Peguam Negara sendiri, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Sekiranya permohonan Mohd. Dusuki dibenarkan, maka Mahkamah Persekutuan akan mendengar tujuh persoalan yang ditimbulkan Peguam Negara berhubung Titah Adendum tersebut.
Antara persoalan undang-undang yang hendak dirujuk ke Mahkamah Persekutuan adalah sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.
Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.
Bukti baharu yang dimaksudkan afalah afidavit anak Najib, Datuk Mohd. Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.
Perkenan tersebut hanya diperolehi Mohd. Nizar pada 2 Disember 2024.
Sekiranya permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu itu ditolak, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mula mendengar semakan kehakiman yang difailkan Najib.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan itu memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa, selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari 2024. – UTUSAN