PUTRAJAYA: Peguam Negara berjaya mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum.
Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran berbuat demikian terlebih dahulu.
Titah Adendum tersebut berkait dengan perintah agar Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah selepas didapati bersalah atas kesalahan berkait penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Hukuman enam tahun penjara itu diberikan Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 yang memutuskan untuk mengurangkan hukuman asal iaitu penjara 12 tahun.
Turut dikurangkan adalah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah, semalam sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut berjaya memenuhi ambang peruntukan undang-undang.
“Selepas meneliti sepenuhnya hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan serta merujuk kepada nas undang-undang yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, kami sebulat suara berpendapat bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan (Peguam Negara) melepasi ambang Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964.
“Soalan-soalan yang dikemukakan adalah baharu dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan berkait dengan kepentingan awam serta wajar dihujahkan dengan lebih lanjut di hadapan mahkamah ini,” kata Hakim Hasnah.
Antara persoalan undang-undang yang hendak dirujuk ke Mahkamah Persekutuan adalah sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.
Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.
Pada Februari lalu, Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman dan memasukkan bukti baharu.
Merujuk kepada isu memasukkan bukti baharu, panel terbabit menyatakan terdapat beberapa perbezaan oleh mahkamah-mahkamah sebelum ini dalam mengendalikan isu penerimaan masuk bukti baharu. – UTUSAN