Netanyahu mohon maaf kepada Qatar susulan serangan di Doha - Utusan Malaysia

Netanyahu mohon maaf kepada Qatar susulan serangan di Doha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon maaf kepada Qatar berhubung serangan roket rejim tersebut terhadap pemimpin Hamas di Doha pada awal bulan ini yang mengorbankan seorang rakyat negara itu serta mencetuskan kecaman global.

Permohonan maaf itu dibuat Netanyahu kepada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani menerusi panggilan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika pertemuan di White House, kelmarin.

Menurut kenyataan rasmi White House, Netanyahu menyuarakan penyesalan mendalam terhadap serangan peluru berpandu Israel pada 9 September lalu yang menyasarkan delegasi Hamas di Qatar tetapi menyebabkan seorang pegawai keselamatan negara itu, Badr Al-Dosari, terkorban.

“Beliau turut mengakui Israel melanggar kedaulatan Qatar dalam operasi itu dan memberi jaminan tidak akan mengulangi serangan seumpama itu pada masa depan,” jelas kenyataan itu.

Serangan berkenaan yang pertama kali dilakukan Israel di Qatar mengorbankan lima anggota Hamas berpangkat rendah serta seorang pegawai keselamatan Qatar, bagaimanapun, pemimpin utama kumpulan tersebut yang menjadi sasaran utama terselamat.

Qatar dalam kenyataannya mengesahkan panggilan berkenaan dibuat bagi menangani kesan pencerobohan Israel yang menyasarkan kawasan perumahan di Doha, termasuk kediaman delegasi Hamas yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata.

Sheikh Mohammed pada awal perbualan turut merakamkan penghargaan kepada Trump atas usaha AS menjamin keamanan serantau serta komitmen pertahanan bersama dengan Qatar.

Netanyahu menerusi akaun rasminya di platform X turut dipetik berkata: “Israel kesal seorang rakyat Qatar terbunuh dalam serangan itu. Israel menyasarkan Hamas, bukan Qatar, dan kami tiada rancangan melanggar kedaulatan Qatar lagi.”

Namun beliau dalam masa sama mendakwa Israel mempunyai rungutan terhadap Qatar, termasuk sokongan Doha kepada Ikhwanul Muslimin, liputan kritikal Al Jazeera serta pembiayaan gerakan anti-Israel di kampus Barat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam serangan Israel itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Qatar.

Insiden tersebut turut mendorong hampir 60 negara Islam berhimpun di Doha bagi menyatakan solidariti bersama Qatar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN