MELAKA: Seorang jurutera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merakam video bogel bekas kakak ipar menggunakan sebatang pen berkamera di bilik mandi di rumahnya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 40 tahun dengan cara merakam video mangsa dalam keadaan bogel menggunakan pen kamera tersembunyi.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang dalam bilik air di sebuah rumah bernombor di Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada pertengahan Jun 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak yang masih kecil termasuk ibu bapa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN