KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikatnya serta lima entiti pesisir luar telah menarik balik saman yang dikemukakan terhadap seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani.
Laporan akhbar sebelum ini menyatakan, Shabnam yang juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri merupakan seorang pereka fesyen dari Singapura dan sering membantu Datin Seri Rosmah Mansor dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.
Kedua-dua mereka sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman oleh syarikat-syarikat berkenaan yang menuntut kembali AS$346 juta didakwa diseleweng untuk pembelian barangan mewah.
Peguam, Datuk N. Sivananthan ketika dihubungi berkata, 1MDB dan plaintif lain menarik balik saman terhadap anak guamnya (Shabnam) melalui prosiding yang dijalankan secara dalam talian, hari ini.
Ujarnya, Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya merekodkan penghakiman persetujuan bagi menghentikan saman berkenaan terhadap Shabnam dengan kebebasan memfailkan semula.
Tambahnya, mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Dengan penarikan balik saman itu, Rosmah kini adalah defendan tunggal dalam kes tersebut.
Pada 10 Mei lalu, 1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima entiti pesisir luar telah memfailkan saman terhadap Rosmah dan Shabnam.
Lima anak syarikat tersebut ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd., 1MDB Energy Ltd., 1MDB Energy (Langat) Ltd. dan Global Diversified Investment Company Ltd. (1MDB Global Investments Ltd.) sebagai plaintif kedua hingga keenam.
Entiti pesisir luar yang turut menjadi plaintif ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta. – UTUSAN