Lelaki nafi rogol, amang seksual fizikal anak tiri

Lelaki nafi rogol, amang seksual fizikal anak tiri

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual dan rogol terhadap anak tirinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri berusia 15 tahun, sejak tiga bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan di bacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syazana Abd. Lajis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya berusia 15 tahun kira-kira pukul 3 pagi di sebuah rumah di Kampung Taboh Naning dalam daerah Alor Gajah pada pertengahan Jun 2024.

Tertuduh mengulangi perbuatannya terhadap mangsa di lokasi sama kira-kira pukul 9 pagi pada 4 Julai 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum tiga puluh tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama pada 3 Mei dan 12 Jun 2024.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) di bawah akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia hanya melakukan kerja-kerja kampung manakala ibunya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada dan menetapkan 23 September ini untuk serahan laporan perubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×