MELAKA: Tiga kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengiklanan, sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh, Suhana Surin, 43; Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, dan Patrick Tan Peng Sin, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Suhana yang merupakan Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dihadapkan dengan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,900.
Mohd. Rozaiman pula selaku Pegawai Tadbir di Unit Penguatkuasaan MPAG didakwa dengan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM2,900, manakala Patrick yang berkhidmat sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan MPAG berdepan dua pertuduhan dengan nilai suapan RM5,000.
Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan daripada Pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma melibatkan jumlah keseluruhan RM9,800 antara 20 Mac 2022 sehingga 19 April 2023, dalam daerah Alor Gajah.
Suapan itu bertujuan untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan ditawarkan MPAG.
Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, kesemua mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.
Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam yang mewakili Suhana merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu kepada tiga orang anak yang masih bersekolah.
Mohd. Rozaiman dan Patrick yang tidak diwakili peguam turut merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak mampu membayar jaminan yang dicadangkan, selain perlu menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sekali setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka dan pasport diserahkan kepada mahkamah. – UTUSAN










