Pertikai gaji isteri, polis bantuan mengaku tumbuk muka pasangan

Pertikai gaji isteri, polis bantuan mengaku tumbuk muka pasangan

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menumbuk muka isterinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota polis bantuan dijatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 selepas tertuduh mengaku bersalah menumbuk muka isterinya.

Tertuduh, Mohd. Haniff Zainuddin, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan cedera kepada isterinya berusia 45 tahun, kira-kira pukul 7.30 malam di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Julai 2024.

Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Fakta kes memaklumkan, ketika pasangan suami isteri itu berada di rumah, telah berlaku perselisihan faham antara mereka selepas tertuduh mempertikaikan penggunaan duit gaji mangsa yang bekerja sebagai kerani.

Pertengkaran itu menyebabkan tertuduh menumbuk bahagian muka isterinya sehingga mangsa terpaksa menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Melaka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira fakta kes dan kecederaan dialami isterinya, selain keterangan saksi menunjukkan ia bukanlah kejadian pertama tertuduh mengasari mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengasari isterinya lagi, manakala anaknya berusia 27 tahun bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dari tarikh ditangkap iaitu pada 13 Julai lalu dan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×