MELAKA: Seorang penarik kereta terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskannya atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Maizatul Hisyam Mohd. Yunus, 36.
Mohd. Radzi berkata, pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah melalui keterangan yang diberikan saksi pendakwaan kedua.
“Kredibiliti saksi pendakwaan kedua yang juga pegawai tangkapan kedua telah dicabar. Selain itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dadah, maka anggapan pengedaran dadah juga telah gagal dibuktikan.
“Mahkamah selepas menilai keterangan saksi pendakwaan mendapati terdapat percanggahan bahawa dadah dijumpai di dalam rumah atau di dalam kereta yang diletakkan di luar rumah.
“Pendakwaan tidak berjaya menutup kelompongan tersebut maka tidak adil untuk memanggil tertuduh membela diri. Mahkamah dengan ini melepaskan dan membebaskan tertuduh,” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penarik kereta didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 217 gram.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.00 pagi di sebuah rumah bernombor di Taman Nirwana, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Oktober 2021.
Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Tertuduh diwakili peguam K. Shareveen dan Chua Yong Yi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik dan Nabil Alif Mohd. Rosli. – UTUSAN










