MELAKA: Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini terhadap seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di negeri ini bagi membantu siasatan polis berkaitan kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan.
Perintah reman sehingga 23 Julai ini dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 46 tahun itu berhubung satu laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa dirinya dipeluk suspek, ketika sedang berehat di bilik sakit sekolah berkenaan, minggu lalu.
Siasatan dilakukan polis mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kenderaan polis.
Difahamkan, kejadian dilaporkan berlaku pada 11 Julai lalu, ketika mangsa yang berusia 16 tahun dikatakan tidak sihat dan telah mendapatkan rawatan di klinik panel kira-kira pukul 12 tengah hari, sebelum masuk semula ke sekolahnya.
Semasa tiba di sekolah, suspek telah menyuruh mangsa berehat di bilik sakit sebelum tiba-tiba mengunci pintu bilik tersebut dan duduk di sebelahnya.
Suspek dikatakan memberitahu mahu mengambil gambarnya sambil memeluk mangsa dan mengulangi perbuatan itu ketika mangsa baring di katil.
Mangsa yang ketakutan cuba menyelamatkan diri dengan memberi alasan mahu ke tandas, sebelum menceritakan kejadian kepada rakan sekolahnya.
Polis telah menahan suspek selepas guru itu selesai memberi keterangan di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira pukul 3.15 petang semalam. – UTUSAN










