Bekas CEO Melaka Halal Hub didenda RM15,000, mengaku

Bekas CEO Melaka Halal Hub didenda RM15,000, mengaku lantik anak sendiri

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan pilihan menggunakan jawatannya untuk melantik dan menggajikan anak kandungnya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub Sdn. Bhd.

Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan sedemikian selepas tertuduh, Amir Ali, 57, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menggunakan jawatannya untuk melantik dan menggajikan anak kandungnya sebanyak RM13,750 dalam tempoh lima bulan di syarikat itu, tiga tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM13,750 diterima anak perempuannya yang dilantiknya ke jawatan pegawai kewangan W41 dalam tempoh April hingga Ogos 2021.

Pelantikan itu tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang menyalahi Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 125, Bangunan Anchor, Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam pada 1 April 2021.

Mengikut Seksyen 26 Akta SPRM 2009, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan denda minimum RM15,000 hingga RM20,000 memandangkan kes berkenaan adalah serius dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon nilai denda dikurangkan dengan alasan anak guamnya sudah menyesali perbuatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×