Menyamar pegawai AADK, ‘Manja Bunga Lestari’ didakwa tipu warga emas

Menyamar pegawai AADK, ‘Manja Bunga Lestari’ didakwa tipu warga emas

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menipu seorang warga emas sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menggunakan nama samaran ‘Manja Bunga Lestari’ untuk menipu rakan sendiri, itu modus operandi dilakukan seorang wanita yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Norhana Adam, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah atas pertuduhan menipu seorang warga emas sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya rakan lelakinya berusia 64 tahun tentang seorang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dikenali sebagai Nur Amalina yang mana individu tersebut tidak wujud, akan ditukarkan ke Sabah atau Sarawak.

Penipuan itu kononnya bagi mengelakkan Nur Amalina ditukarkan sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah RM416,000 secara berperingkat antara September 2023 sehingga Jun 2024 di sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah.

Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Difahamkan, tertuduh pada mulanya menyamar sebagai pegawai kanan AADK memohon pinjaman wang sebanyak RM10,000 daripada mangsa untuk melepaskan Nur Amalina yang didakwa ditahan kerana menolak pertukaran tempat kerja.

Tertuduh yang menggunakan nama Manja Bunga Lestari kemudian mendakwa, rakan sekerjanya itu mempunyai beberapa saman yang perlu diselesaikan sebelum dibebaskan daripada tahanan, lantas menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah wang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan RM30,000 setelah engambil kira nilai kerugian dialami mangsa adalah tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menjaga ibu yang sakit dan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN