Pegawai LPP didakwa terima suapan projek lengkuas

Pegawai LPP didakwa terima suapan projek lengkuas

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengemukakan butiran matan palsu dan menerima suapan. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang Pegawai Ehwal Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan butiran matan palsu dan menerima suapan berkaitan projek lengkuas berjumlah RM64,550, sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zairey Yahya, 42, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Johor ketika itu telah mengemukakan butir matan palsu iaitu Sijil Perakuan Kesempurnaan bagi projek pembekalan dan menghantar alatan serta input pertanian projek lengkuas bernilai RM44,550 kepada Unit Kewangan LPP Johor antara Januari dan Mac 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat LPP, Kuala Lumpur turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM20,000 daripada seorang kontraktor pembersihan berusia 42 tahun berkaitan kerja-kerja pembersihan, penyediaan kawasan dan infrastruktur ladang bagi projek tanaman lengkuas.

Kesalahan itu dilakukan di parkir kereta Medan Selera Pekan Selandar dalam daerah Jasin pada 5 Mac 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan setiap bulan dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Hanif Hassan membantah pertuduhan pertama dengan alasan pertuduhan cacat kerana tidak memasukkan lokasi kejadian yang mana boleh menimbulkan prejudis terhadap anak guamnya serta memberi kesan kepada bidang kuasa bicara mahkamah.

Hanif turut merayu jumlah jaminan rendah antara RM10,000 hingga RM15,000.

Mahkamah menolak bantahan peguam dan membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN