Pasangan Nigeria mengaku miliki kanabis

Pasangan Nigeria mengaku miliki kanabis

TERTUDUH diiring anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, Melaka atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bertukar kecoh selepas seorang lelaki warga Nigeria bertindak agresif dan meninggikan suara sebaik sahaja dibawa keluar oleh anggota polis.

Tertuduh, Kebechi Thomas Nwankwu, 38, dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah dan 10 sebatan manakala teman wanitanya, Happy Akhidenor Aituaje, 33, turut dipenjara bagi tempoh sama atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah mereka, sebaik sahaja pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh yang merupakan pelajar di sebuah universiti swasta di Melaka dan Kuala Lumpur didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 580.98 gram (g).

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi di sebuah rumah bernombor di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Taman Bukit Beruang Bestari dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Mac 2022.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, pasangan itu ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Tiong dan hasil pemeriksaan menjumpai satu ketulan mampat dan lima peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis ganja yang disimpan dalam beg sandang berwarna hitam dan sebuah beg berwarna biru.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

Peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum dengan alasan tertuduh telah insaf dan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga di Nigeria.

Mahkamah menjatuhkan penjara enam tahun setengah terhadap mereka serta 10 sebatan untuk Kebechi Thomas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×