Didenda RM2,500, mengaku ugut sebar gambar bogel remaja

Didenda RM2,500, mengaku ugut sebar gambar bogel remaja bawah umur

TERTUDUH didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel milik seorang remaja perempuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel milik seorang remaja perempuan bawah umur, penuntut jurusan kulinari berusia 20 tahun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Chan Yu Jian mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang perempuan berusia 15 tahun bahawa satu bencana iaitu gambar bogelnya akan disebarkan hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,500 kepada tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan pukul 7.03 pagi di sebuah rumah beralamat di Rumah Pangsa Seksyen 3 dalam daerah Melaka Tengah, pada 14 Mac 2024.

Mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh pada Januari 2023 melalui laman sosial Instagram, namun tidak pernah melihat wajahnya.

Pada 14 Mac 2024, mangsa telah diugut oleh tertuduh untuk menyerahkan sejumlah wang jika tidak mahu gambar bogelnya disebarkan.

Mangsa yang ketakutan bertindak mencuri wang ibunya dan menyerahkan kepada tertuduh dengan menggunakan khidmat e-hailing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringankan diberikan dengan alasan masih belajar dan perlu menjaga ibu bapa yang sudah berusia.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×