KUALA LUMPUR: Semua prosiding melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ditangguhkan sepenuhnya oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pihak pendakwaan sementara menunggu pelupusan rayuan terhadap pembebasan beliau daripada empat pertuduhan rasuah. Rayuan itu dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Februari ini.
Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan selepas berpuas hati wujud situasi yang memungkinkan satu keputusan penting dicapai (di Mahkamah Rayuan) berkaitan kes tersebut.
Ujar beliau, penggantungan itu wajar demi keadilan semua pihak bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap prosiding di Mahkamah Sesyen.
“Memandangkan ada permohonan-permohonan lain difailkan di mahkamah ini, saya tangguhkan semua prosiding,” ujarnya.
Azura kemudian menetapkan 4 Mac ini sebagai sebutan bagi memaklumkan perkembangan rayuan di Mahkamah Rayuan. Selain permohonan penangguhan, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan bekas Perdana Menteri untuk mengugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Hakim berkenaan juga dijadualkan mendengar bantahan awal pihak mendakwaan terhadap permohonan tersebut. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon penangguhan prosiding didengar terlebih dahulu kerana rayuan pendakwaan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan dalam tempoh dua minggu.
Hujah beliau, jika bantahan awal dan permohonan membatalkan pertuduhan didengar terlebih dahulu, permohonan bagi penangguhan prosiding akan menjadi akademik.
“Lebih praktikal jika mahkamah mendengar permohonan penangguhan dahulu,” hujah Wan Shaharuddin.
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memohon permohonan menggugurkan tiga pertuduhan itu didengar dahulu, namun ditolak oleh mahkamah.
Pada 15 Ogos 2023, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.
Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa atas dua pertuduhan menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi. – UTUSAN










