MELAKA: Individu yang videonya tular dalam media sosial kerana menumbuk seorang wanita warga emas berikutan berang ditegur membakar sampah di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling di sini, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Mohd. Noor, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul seorang warga emas berumur 77 tahun menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 tengah hari di belakang sebuah rumah di Batu 9 Pantai Kundor, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Januari 2024.
Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan.
Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor serta Nurul Hafidzah Hassan merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana hanya membantu neneknya membersihkan tapak glamping berkenaan.
Tambah Nur Aminahtul Mardiah, anak guamnya juga merupakan orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami keretakan pada bahagian kepala akibat terlibat dalam nahas pada usianya tujuh tahun.
Pembelaan turut mendakwa, pergaduhan berpunca daripada provokasi oleh pengadu dan mempunyai unsur perkauman.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium. – UTUSAN










