Mak Cik Kemboja tak mengaku salah, pertuduhan mengapikan

Mak Cik Kemboja tak mengaku salah, pertuduhan mengapikan kaum

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengeluarkan penyataan jelik terhadap orang Melayu, bulan lalu. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Wanita warga Kemboja yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan penyataan jelik terhadap orang Melayu, bulan lalu.

Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah membuat pernyataan jelik dengan niat yang mungkin untuk mengapikan kaum Melayu melakukan suatu kesalahan terhadap mana-mana kaum lain.

Kesalahan itu telah dilihat kira-kira pukul 6 petang melalui aplikasi TikTok di KM4, Bukit Piatu, Kampung Musai dalam daerah Melaka Tengah pada 16 November 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, anak lelaki tertuduh, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 22, turut didakwa dan membuat pengakuan tidak bersalah atas kesalahan memuat naik video yang mengandungi penyataan jelik seorang wanita dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

EZUAN HAFSHAM Mohd. Hisyam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memuat naik video yang mengandungi penyataan jelik. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Tertuduh berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM30,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengeluarkan kenyataan sehingga perbicaraan selesai.

Peguam Kamal Hisham Jaafar merayu jaminan dikurangkan dengan alasan Mariyah merupakan ibu tunggal tiga anak dan pendapatan keluarga bergantung sepenuhnya kepada perniagaan diusahakan.

Tambahnya, kewangan perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan tertuduh turut menaja keperluan 60 pelajar sebuah pusat tahfiz di Johor.

Ezuan Hafsham pula merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta yang berpangkalan di United Kingdom (UK) dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ibunya.

Mahkamah membenarkan Mariyah diikat jamin RM15,000 manakala anaknya RM10,000 dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya