MELAKA: Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM3,600 bagi melindungi sebuah syarikat pengangkutan pada 2017.
Tertuduh, Mohd. Hanif Mohamad Zakri, 37, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan pilihan kedua dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan .
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan hukuman setimpal kerana melibatkan rasuah penjawat awam, selain menggunakan jawatan untuk mendapatkan wang secara tidak sah ketika berkhidmat.
Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda dikenakan kerana tertuduh menanggung isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu yang uzur, adik beradik yang masih belajar dan hanya bekerja sambilan sebagai penjual ikan sejak ditahan kerja.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM30,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes, tertuduh menerima RM300 setiap bulan untuk melindungi tiga buah lori milik pengurus terbabit yang melalui kawasan Jasin daripada disaman. – UTUSAN