Alasan penghakiman belum siap, 24 Julai pengurusan kes Amelia - Utusan Malaysia

Alasan penghakiman belum siap, 24 Julai pengurusan kes Amelia

AMELIA HENDERSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Julai ini bagi pengurusan kes rayuan pelakon Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili pelakon itu memaklumkan, tarikh rayuan belum ditetapkan kerana alasan penghakiman Mahkamah Sesyen yang mengeluarkan perintah itu, masih belum siap.

“Alasan penghakiman masih belum siap, mahkamah menetapkan 24 Julai ini bagi tarikh pengurusan kes selanjutnya,” jelas beliau ketika dihubungi wakil media selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin hari ini.

Sementara itu, peguam Ashmadi Othman yang mewakili syarikat produksi itu ketika dihubungi turut mengesahkan perkara sama.

Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen pada 7 April lalu yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Dengan perkataan lain, hanya satu pilihan pada defendan iaitu tunaikan kontrak yang ditandatangani. Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat produksi A. Aida) berjaya membuktikan tuntutan,” kata hakim itu ketika membaca keputusannya pada prosiding lalu.

Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu ‘Aira’ yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.

Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5 peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November 2022, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir memberi keterangan.

Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu, A. Aida Production terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Sementara itu, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Sebelum ini, media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A. Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN