Kompaun RM4.15 juta dikeluarkan atas kesalahan berkaitan rokok

Kompaun RM4.15 juta dikeluarkan atas kesalahan berkaitan rokok

Kompaun rokok
JKNS mengeluarkan 17,709 notis kompaun berjumlah RM4.15 juta terhadap kesalahan berkaitan rokok termasuk kegagalan pematuhan kawasan larangan merokok sehingga Ogos lalu. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sehingga Ogos lalu, sebanyak 17,709 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM4.15 juta dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) atas pelbagai kesalahan berkaitan produk rokok termasuk kegagalan terhadap pematuhan kawasan larangan merokok.

Notis tersebut dikeluarkan menerusi pelbagai operasi dan pemeriksaan selepas hampir setahun penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 54 kertas siasatan dibuka oleh pihak berkuasa berkenaan bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun untuk tujuan pendakwaan.

JKNS dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, menerusi Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang dilaksanakan bermula Julai hingga bulan lalu, sebanyak 4,845 notis kompaun berjumlah RM1.19 juta dikeluarkan.

Menurutnya, selain notis kompaun, sebanyak 40 kertas siasatan turut dibuka bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Penguatkuasaan akta berkenaan adalah bertujuan memberi tumpuan kepada larangan promosi, pengiklanan dan tajaan, kawalan penjualan, pembelian dan penggunaan produk merokok terutama rokok elektronik atau vape terhadap golongan orang belum dewasa serta pematuhan kawasan larangan merokok.

“Ops Selama PaPa yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 1 ogos lalu adalah selari dengan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru (LHI),” katanya, hari ini.

Malah, JKNS dalam kenyataan sama menegaskan tindakan penguatkuasaan adalah langkah terakhir yang diambil oleh JKN Selangor.

“JKNS komited memastikan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam berjalan dengan lancar dan berkesan di seluruh negeri Selangor, demi manfaat dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Orang ramai dan semua pihak yang terlibat diminta untuk bekerjasama serta menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang kesihatan awam,” jelasnya.

Tambahnya, segala aduan berkaitan kesalahan melibatkan produk rokok dan kegagalan terhadap pematuhan kawasan larangan merokok boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Kesihatan atau menerusi aplikasi Whatsapp di talian 010-8608949. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN