MELAKA: Seorang ahli perniagaan didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu dalam borang pengesahan pekerja Program Insentif Penjana 2.0, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Azmi Mat Sah, 55, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu borang pengesahan pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama DRAZZ Global Resources dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat DRAZZ Global Resources, Jalan Kristal Merah 2, Kompleks Perniagaan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Jun 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal kerana melibatkan kepentingan awam.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum tanpa penjara memandangkan tertuduh telah insaf dan menghidap darah tinggi kronik, selain perlu menanggung 50 pelajar tahfiz.
Mahkamah menjatuhkan denda RM200,000 atau 12 bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN