MELAKA: Seorang ahli perniagaan berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit wang pelaburan berjumlah lebih setengah juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Noryani Abdullah membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima deposit wang pelaburan berjumlah keseluruhan RM581,000 daripada seorang penama.
Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Maybank tertuduh untuk tujuan perniagaan pelaburan tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Perbuatan itu dilakukan antara 8 Januari 2020 sehingga 26 Oktober 2020 dan 16 Februari 2021 sehingga 24 September 2021 di Maybank Cawangan Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-dua sekali, bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin masing-masing menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Andrew Lourdes merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menyara enam anak, selain tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes, hipertensi, serta penglihatan kurang jelas.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM45,000 dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan seperti dicadangkan pendakwaan. – UTUSAN