KUANTAN: Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara cuai hingga mengakibatkan kemalangan maut, di Mahkamah Khas Trafik Kuantan, di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Nor Azwan Abd Saman, 31, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memandu lori tangki yang membawa minyak tanpa cermat dan mengakibatkan kemalangan maut hingga mengorbankan dua beradik, Siti Nur Alia Saffiyah, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30,.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Kuantan-Segamat, dekat persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, kira-kira pukul 11 malam, 13 Jun lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999) dengan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Selain itu, lesen tertuduh juga boleh dibatalkan mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Dalam sesi prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin bercagar.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah ikat jaminnya dikurangkan kerana hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 dan perlu menanggung keluarga.
Katanya, sebagai mencari sumber pendapatan utama dalam keluarga tertuduh menanggung seorang isteri yang tidak bekerja, tiga anak dan ibu yang sudah tua.
Dengan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN