PELABURAN besar kerajaan dalam sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2026 merupakan langkah strategik bagi merancakkan semula pasaran pekerjaan dan memperkukuh ekonomi tempatan.
Dengan peruntukan yang disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, promosi destinasi baharu serta program latihan kemahiran, sektor ini dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Tumpuan kepada pelancongan bukan sahaja mampu menjana peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tetapi turut mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti luar bandar.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peruntukan tinggi kepada sektor pelancongan akan memperkasakan industri tempatan terutamanya dalam sektor hospitaliti, pengangkutan dan peruncitan.
Katanya, ini akan memastikan PMKS dalam sektor tersebut mampu berdaya saing, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka dan menggaji lebih ramai pekerja.
“Semua ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi domestik untuk menyumbang kepada kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun hadapan.
“Pelaburan ini juga mampu menjadi strategi jangka panjang terutamanya jika ia melibatkan pembangunan infrastruktur dan ekosistem yang lebih komprehensif dan kekal, berbanding pemberian dana dan latihan semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sektor pelancongan boleh menjadi penampan kepada kelembapan sektor eksport dan pembuatan dengan menyumbang kepada hasil kerajaan melalui peningkatan pelancong dari luar negara dan juga pelancong domestik yang turut mempunyai kuasa beli yang tinggi.
“Apabila ia dilaksanakan dengan sempurna, industri pelancongan akan menjadi lebih mampan,” jelasnya.
Menurutnya, pemantauan diperlukan bagi memastikan peruntukan besar ini mampu memberi pulangan ekonomi sebenar.
“Setiap pelaksanaan projek dan inisiatif perlu dipantau dan dilaporkan melalui pelaporan berkala di bawah sistem pemantauan myRMK serta segala elemen ketirisan, pembaziran dan rasuah dibanteras melalui pematuhan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal,” jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia sudah pun menjadi destinasi utama di Asia Tenggara dengan kedatangan 28.24 juta pelancong antara Januari hingga Ogos berbanding Thailand 21.88 juta bagi tempoh yang sama.
Oleh itu, beliau berkata, momentum itu mesti dikekalkan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan pelaburan RM700 juta dalam Belanjawan 2026.
“Industri ini juga menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit apabila ramai pelancong asing berbelanja di Malaysia.
“Kita boleh lihat kesan yang sama berlaku kepada Thailand yang selama ini menerima ramai pelancong luar dan mengukuhkan baht dan menyumbang hingga 30 peratus kepada KDNK negara itu,” katanya.
Beliau berkata, industri pelancongan selayaknya mampu memacu ekonomi Malaysia terutama dalam ekonomi global dan perdagangan global yang tidak stabil. – UTUSAN










