MELAKA: Seorang akauntan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya kerana mangsa mengetahui dirinya telah berkahwin lain.
Tertuduh, Norazlan Md. Ali, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 58 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang dalam kereta jenis BMW XI di kawasan lampu isyarat di Bukit Katil pada 25 Mac 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain secara rahsia dan berlaku pertengkaran sehingga tertuduh bertindak memukul isterinya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM10,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai akauntan dan menanggung isteri serta enam anak.
Tertuduh juga memaklumkan tidak lagi tinggal bersama mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dan menetapkan 20 Julai ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN