Status Islam anak: Loh Siew Hong fail rayuan - Utusan Malaysia

Status Islam anak: Loh Siew Hong fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu tunggal, Loh Siew Hong telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang memutuskan bahawa tiga anaknya yang telah ditukar agama oleh bekas suaminya secara unilateral (sebelah pihak) kekal beragama Islam.

Siew Hong memfailkan notis rayuan tersebut di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Pada 11 Mei lalu, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati ketiga-tiga anak Siew Hong yang terdiri daripada pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka.

Wanita terbabit memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habes corpus yang difailkannya agar tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.

Wanita itu mempertikai pengislaman anak-anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya, M. Nagahswaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy secara sebelah pihak dan tindakan lelaki itu mendaftarkan anak-anak mereka sebagai muslim tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Wan Ahmad Farid juga menyatakan, Siew Hong sendiri tidak pernah menafikan bahawa tiga anaknya itu masih mengamalkan ajaran Islam selepas berada dalam jagaannya.

Selain itu Hakim itu menyatakan, tiada bukti yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu telah ditukar semula agama mereka kepada Hindu ketika berada dalam jagaan ibunya.

Keputusan itu dibuat dalam permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya sekaligus memohon membatalkan pengislaman tersebut.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN