Saman fitnah RM150 juta: Anwar masukkan kehadiran - Utusan Malaysia

Saman fitnah RM150 juta: Anwar masukkan kehadiran

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan kehadiran dalam kes saman fitnah RM150 juta oleh bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memorandum kehadiran tersebut difailkan pada 16 Mei lalu melalui firma guaman, Tetuan Thomas Philip yang mewakili Ahli Parlimen Tambun.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Anwar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu yang turut memaklumkan pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 31 Mei ini.

Pada 3 Mei lalu, Dr. Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung ucapan yang dibuat oleh bekas timbalannya itu pada Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme pada Mac lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir selaku plaintif menyatakan, keseluruhan program pada 18 Mac lalu dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang ‘Facebook live’ akaun Facebook milik Anwar sendiri dan di saluran YouTube Parti Keadilan Rakyat.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), itu berkata kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara, dan mengelak untuk membayar cukai.

Katanya, kenyataan Anwar bahawa kononnya beliau hanya membincangkan soal rakyat selepas ‘kehilangan kuasa’ adalah tidak benar yang bertujuan menjatuhkan imejnya.

Tegas Dr. Mahathir, semua kenyataan itu menimbulkan persepsi buruk dan mencalarkan imejnya sebagai negarawan yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.

Mengambil faktor defendan adalah perdana menteri kini, ia adalah penting untuk memastikan setiap kenyataan yang disebut adalah berdasarkan kepada fakta dan bukannya khabar daripada media atau mana-mana individu semata-mata.

Dr. Mahathir berkata, mengambil faktor Anwar adalah Perdana Menteri yang mempunyai kuasa dan tenaga kerja untuk menyelidik dan memastikan sebarang fakta sebelum ia dituturkan.

Oleh itu, Dr. Mahathir menyatakan, beliau layak menuntut sejumlah wang ganti rugi tauladan yang tinggi sebagai pengajaran kepada mana-mana pemimpin untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.

Selain ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta, Dr. Mahathir turut menuntut perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya