Pengurusan kes status representasi Ahmad Zahid 28 Julai - Utusan Malaysia

Pengurusan kes status representasi Ahmad Zahid 28 Julai

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Julai ini bagi pengurusan kes berhubung status representasi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Penolong Kanan Pendaftar Nurul Azrina Mohamed Yusof menetapkan tarikh baharu pengurusan kes itu sementara menunggu Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbang representasi Ahmad Zahid untuk menggugurkan rayuan pihak pendakwaan.

Ahmad Zahid mengemukakan representasi pada Januari lalu memohon AGC menarik balik rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 September 2022 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri daripada semua pertuduhan.

Presiden UMNO itu didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai S$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Disember 2022, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN