Muhyiddin mohon kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Muhyiddin mohon kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi

Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mohon kes dihadapinya iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Menurut peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan, permohonan itu difailkan pada 27 April lalu dan antara alasan kes tersebut melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, ia perlu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar.

Tarikh 31 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Menerusi afidavit sokongannya, Muhyiddin berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan atau memutuskan perkara-perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hanya mahkamah atasan iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempunyai kepakaran untuk memutuskan perkara sedemikian.

“Adalah lebih wajar bagi prosiding itu didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa, pengalaman luas serta pemahaman undang-undang mendalam untuk menentukan dan memutuskan isu-isu Perlembagaan,” kata Muhyiddin dalam afidavitnya.

Berhubung permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membatalkan empat pertuduhan mendakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, Rosli berkata, Timbalan Pendaftar Nurshafini Mustafha menetapkan 12 Jun untuk pengurusan kes.

Pada 19 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu memohon beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, selain prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.

Muhyiddin, 75, sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN