Dua beradik bebas 52 tuduhan tuntutan palsu

Dua beradik bebas 52 tuduhan tuntutan palsu

MOHD. Farid Mohamad Ali (kanan) dan Mohd. Fadhil (kiri) bergambar bersama Jahaberdeen Mohamed Yunoos di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan kes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua beradik pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit berjumlah lebih RM1.5 juta.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Datuk Mohd. Farid Mohamad Ali, 44, dan adiknya, Mohd. Fadhil, 40, selaku pemohon untuk dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

“Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pemohon. Oleh itu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili kedua-duanya memohon agar dua beradik itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

“Saya difahamkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan kami,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi berkata, oleh kerana kedua-dua pemohon telah menjelaskan kompaun pihaknya tidak membantah permohonan tersebut.

Pada Jun 2022, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh daripada kesemua pertuduhan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Mohd. Farid dan adiknya kemudian memohon di Mahkamah Tinggi supaya mereka dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd. Farid didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu.

Butiran palsu itu didakwa bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 berjumlah RM1,596,341.40 kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Butiran itu berkaitan maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya di antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, dan jika butir matan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd. Fadhil pula didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd. Farid melakukan kesalahan sama, di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama yang membawa hukuman sama.

Sementara itu, Mohd. Farid menerusi kenyataan media merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan sahabatnya yang menyokong serta memberi semangat untuk menempuh waktu yang sangat mencabar.

Ujar beliau, berkat kesabaran dan mengambil konsep mempertahankan maruah diri, akhirnya kebenaran terbukti apabila dibebaskan sebelum perbicaraan kes dimulakan.

“Episod ini mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih istiqomah dan sememangnya apa yang lebih penting adalah kerja-kerja kebajikan untuk kebaikan ummah secara amnya,” katanya.

“Syarikat saya Alfa Consortium Berhad pada masa ini adalah pembekal utama minyak masak bersubsidi untuk asnaf di seluruh Selangor dan kami membekalkan terus kepada anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf di sembilan daerah di negeri itu.

“Saya mengambil jalan yang lebih berkat dengan menjadi pembekal utama minyak masak bersubsidi kepada asnaf Selangor walaupun keuntungannya lebih kecil berbanding pembekalan kepada pemborong-pemborong lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya