Bilik tempat dadah ditemukan bebas diakses orang lain - Ismahalil - Utusan Malaysia

Bilik tempat dadah ditemukan bebas diakses orang lain – Ismahalil

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak di sini iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Pengasas ‘Bapakku FM’ itu menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan DJ dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk ‘on air’ selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Menurut tertuduh, bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin bebas digunakan oleh para DJ untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.

“Saya tidak tinggal di bilik itu, sesiapapun bebas keluar masuk untuk `melepak’ dan ada di antara mereka meninggalkan barang peribadi. Beg mengandungi dadah yang dirampas itu bukan saya punya dan saya tidak tahu ia milik siapa,” jelas tertuduh yang merupakan saksi pembelaan pertama.

Ismahalil, 50, memberi keterangan bela diri hari pertama atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu Ismahalil ketika membacakan pernyataan saksi berkata, sebelum tangkapan, dia berehat bersama-sama beberapa DJ lain di anjung bawah sebelum bertolak ke konti radio di Mukut, Pulau Tioman.

Jelasnya, beliau kemudian ke bilik berkenaan untuk menunaikan solat Asar sebelum pintu diketuk oleh sekumpulan lelaki berpakaian biasa yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Tertuduh selanjutnya menceritakan, mereka meluru masuk bersama seorang lagi krew, Ismail Zukri yang ketika itu dalam keadaan bergari dan melakukan penggeledahan sebelum bertanyakan `mana beg’.

“Saya tidak nampak langsung beg tersebut, pegawai polis itu menolak saya dari belakang sambil mengacukan pistol dan mengarahkan saya mengambil sebuah beg yang terletak di hujung katil.

“Saya kemudian digari dan dibawa ke balai polis serta ditunjukkan kandungan beg mengandungi dadah. Saya terkejut kerana tidak mengandungi kewujudan dadah di dalamnya,” jelas tertuduh.

Ketika ditanya oleh peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar pada sesi pemeriksaan utama, Ismahalil berkata, dia tidak mengetahui apa kesalahan yang dilakukan ketika polis mengacukan pistol ke arahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad pada sesi pemeriksaan balas, Ismahalil berkata, tombol bilik berkenaan telah rosak manakala rumah enam bilik itu disewa sejak 2016.

Noor Dayana turut mencadangkan tertuduh seolah-olah meletakkan kesalahan pada pihak polis bahawa dia dianiaya walhal ketika serbuan, hanya dia seorang dalam bilik berkenaan.

Ismahalil tidak bersetuju dengan cadangan Noor Dayana bahawa dia menipu ketika menyatakan polis membawa orang awam ketika menangkapnya.

Sementara itu, isteri tertuduh Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, dalam pernyataan kepada polis, saksi pembelaan keempat itu berkata, bilik tersebut hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat.

Ujar wanita itu, kali terakhir bilik itu dikemas ialah pada 1 Ogos 2021 dan dia tidak memasukinya selepas itu sehingga penangkapan suaminya pada 27 Ogos.

Pada peringkat itu, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan Nor Haslinda sebagai saksi belot (hostile witness) kerana keterangannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada pihak polis.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bagaimanapun memutuskan percanggahan itu kecil dan tidak material dan pihak pendakwaan boleh mencabarnya pada pemeriksaan balas.

Dalam keterangan selanjutnya, Nor Haslinda menafikan dia `memetik’ nama Ismail Zukri semata-mata untuk menyelamatkan suaminya daripada pertuduhan.

Pembantu tadbir di Istana Budaya itu turut menafikan dia membangkitkan nama Ismail di mahkamah kerana lelaki itu tidak dipanggil memberi keterangan untuk menceritakan versi di pihaknya.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya