Bicara kes AMLA dan elak cukai Rosmah didengar esok - Utusan Malaysia

Bicara kes AMLA dan elak cukai Rosmah didengar esok

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini bermula esok.

Perbicaraan sehingga September ini dijadual didengar di hadapan Hakim K. Muniandy selepas hakim terdahulu, Mohamed Zaini Mazlan dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mula dibicarakan esok diikuti pada 28 Mei dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Pada pengurusan kes 23 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan dijangka seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah mengingatkan pembelaan supaya memberi keutamaan kepada kes berprofil tinggi itu kerana perbicaraan masih belum bermula walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa iaitu pada 4 Oktober 2018.

Rosmah, 72, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Rosmah sedang menunggu rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rayuan itu dijadual didengar selama empat hari bermula 11 Julai hingga 14 Julai ini.

Rosmah disabitkan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.