KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai haiwan eksotik, minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh iaitu Alex Lau Kwang Lee, 32, dan Lai Meng Sien, 34, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.
Alex merupakan pekerja bahagian logistik manakala Meng Sien merupakan jurujual alat ganti telefon.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyalahi undang-undang dan berniat jahat menggunakan bahan letupan sendiri yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kerosakan milik seorang pemilik kedai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kedai berkenaan di Brickfields di sini pukul 5 pagi pada 2 Mei lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Izhar Ahmad Azmi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh.
Mohd Izhar merayu agar mereka ditawarkan ikat jamin pada kadar yang munasabah kerana Alex telah berkahwin dan perlu menyara isteri serta empat anaknya sementara Meng Sien masih bujang dan hanya bekerja di kedai telefon.
Tarikh 22 Jun ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Minggu lalu, media melaporkan polis menemukan tiga paip plastik (PVC) yang diubah suai menjadi meriam buatan sendiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Klang Lama, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dua suspek dikesan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Menurut polis, pengadu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menerima panggilan daripada pengawal keselamatan memaklumkan berlaku letupan kecil di hadapan kedainya pada pukul 6 pagi.
Hasil pemeriksaan unit pemusnah bom (UPB), forensik dan bomba menemukan tiga paip PVC warna putih yang diubah suai menjadi bahan letupan.
Pemeriksaan lanjut pada paip PVC kemudian menjumpai alat Improvised Explosive Device (IED) dengan kawalan jauh. – UTUSAN