MELAKA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh bekas isterinya, selepas wanita itu enggan menandatangani surat perjanjian pertukaran hak milik rumah.
Tertuduh, P. Chandramohgan, 47, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menakutkan bekas isterinya berumur 44 tahun dengan ugutan untuk membunuhnya kerana mangsa enggan menandatangani surat perjanjian pertukaran hak milik rumah.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Mas Merah Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Mac 2023.
Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan berserta syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah dikurangkan dengan alasan hanya mempunyai RM2,000 untuk jaminan, selain perlu menanggung empat anak dengan hanya bekerja di kedai dobi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa. – UTUSAN