Pasangan kekasih didakwa curi 20 kotak susu formula

Pasangan kekasih didakwa curi 20 kotak susu formula

KEDUA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri 20 kotak susu formula bernilai RM6,747.60 di sebuah pasar raya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri 20 kotak susu formula bernilai RM6,747.60 di sebuah pasar raya.

Tertuduh Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab. Manaf, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 dengan berat 2.32 kilogram (kg) dan Enfalac A+ 2FL Step 2 juga 2.32 kg bernilai RM6,747.60, yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam di Pasaraya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Februari 2023.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap seorang.

Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai operator kilang dan mempunyai empat anak kandung masih bersekolah.

Mohd. Azlee turut mendakwa perlu menyara bayi tertuduh wanita yang juga bakal isterinya.

Noor Bayah turut meminta jaminan rendah dikenakan dengan alasan merupakan ibu tunggal dan tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 17 April depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN