Lelaki menyamar Kapten ATM didakwa tipu jual telur

Lelaki menyamar Kapten ATM didakwa tipu jual telur

PASANGAN suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka atas kesalahan menipu penjualan telur dan penyamar penjawat awam. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam dan menipu penjualan telur ayam membabitkan kerugian berjumlah RM52,990.

Tertuduh, Mohamed Hafiz Ibrahim dan Intan Hafiezah Roslan membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa menipu seorang lelaki bagi pembelian 4,245 papan telur ayam yang tidak wujud dan mendorong pengadu memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM52,990 ke dalam akaun bank CIMB, milik tertuduh wanita.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 942, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah antara 13 Disember 2022 hingga 3 Januari 2023.

Sabit kesalahan, pasangan berusia 35 tahun itu berdepan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh lelaki didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai tentera berpangkat Kapten dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh sama didakwa memakai pakaian menyerupai seragam penjawat awam iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat untuk menipu yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di Syarikat Teck Ping Chan Agriculture Sdn. Bhd. dalam daerah Alor Gajah pada 13 Disember 2022.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh lelaki yang juga seorang peniaga didakwa menyamar sebagai peguam untuk menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sehingga mendorong seorang lelaki mendepositkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun bank CIMB milik tertuduh wanita.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan berhadapan stesen minyak di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 16 Disember dan 21 Disember 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun hingga 10 tahun dan denda serta sebatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh wanita didakwa kerana tidak dapat memberikan penjelasan munasabah wang RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 16 Disember hingga 21 Disember 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM15,500 dan RM6,000 untuk tertuduh wanita dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya