Kemenangan pilihan raya bukan lesen mendabik dada

Kemenangan pilihan raya bukan lesen mendabik dada

ASYRAF Wajdi Dusuki ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO diingatkan supaya tidak lupa diri, sombong atau leka selepas Barisan Nasional (BN) mencatat kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan tersebut bukan lesen untuk parti itu mendabik dada, sebaliknya amanah untuk memberikan khidmat lebih cemerlang kepada rakyat.

“Jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita kerana gelombang yang membawa kita ke atas boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa daratan, lupa diri, sombong, angkuh dan leka.

“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi merupakan suatu amanah untuk kita berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, kejayaan dalam dua PRN itu bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat yang kembali kepada perjuangan BN.

Katanya, sokongan pengundi Melayu terhadap BN di Negeri Sembilan meningkat daripada 45.8 peratus pada 2022 kepada 79 peratus tahun ini.

“Di Johor pula, sokongan kelompok sama meningkat daripada 44.9 peratus pada 2022 kepada 82.4 peratus dalam PRN kali ini.

“Pada masa sama, sokongan pengundi Cina di Johor meningkat daripada 9.5 peratus pada 2022 kepada 20 peratus, manakala di Negeri Sembilan bertambah daripada 8.7 kepada 14 peratus.

“Sokongan pengundi India di Johor pula melonjak daripada 18.9 peratus pada 2022 kepada 54.8 peratus tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, BN juga memenangi kesemua saluran pengundi muda Melayu di Johor dan Negeri Sembilan, selain semua pusat daerah mengundi (PDM) Felda di kedua-dua negeri berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×