KUALA LUMPUR: Bekas pengacara dan penulis skrip, Rina Khan, 56, berpandangan kejayaan program popular Pop Kuiz suatu ketika dahulu banyak dipengaruhi oleh keserasian yang terjalin antara dirinya dan pengacara bersama, Datuk Aznil Nawawi.
Menurut Rina, pendekatan pengacaraan yang bersahaja tanpa terlalu terikat kepada skrip serta hubungan persahabatan yang akrab antara mereka menjadi antara faktor yang membuatkan program popular era 90-an berkenaan dekat dengan penonton.
“Saya fikir, program Pop Kuiz dahulu menjadi kerana gabungan saya dengan Aznil. Kami tidak terikat dengan skrip. Kami memang kawan baik dan kami betul-betul menikmati apa yang kami lakukan.
“Aznil akan bercakap, dia buat lawak, kemudian saya pula akan ketawa. Saya ini pula memang mudah terhibur. Kadang-kadang sebelum dia habis bercakap pun saya sudah ketawa dahulu.
“Sepatutnya saya menjadi hos, tetapi saya pula yang banyak ketawa. Jadi perkara itu menular kepada penonton. Mereka pun ikut ketawa sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rina berkata, selain keserasian antara mereka, faktor rezeki turut memainkan peranan dalam menjadikan Pop Kuiz sebuah program yang mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi ketika pilihan rancangan televisyen tidak sebanyak hari ini.
“Sudah tentu rezeki pun memainkan peranan. Pada waktu itu, belum banyak rancangan seperti Pop Kuiz. Sekarang pula sudah terlalu banyak jenis program.
“Mungkin kalau Pop Kuiz keluar pada zaman sekarang, kesannya tidak semestinya sama. Keadaan industri dan pilihan rancangan televisyen juga sudah berubah,” katanya.
Mengulas mengenai rancangan televisyen berbentuk interaktif, yang dilihat semakin kurang diterbitkan kini, Rina mengakui tidak mengetahui sebab sebenar perkembangan tersebut.
“Saya tak tahu. Astro pernah buat beberapa program seperti itu pada satu ketika dahulu, tetapi sekarang sudah tak ada.
“Mungkin sebab tiada sokongan daripada penonton. Saya betul-betul tak tahu sebab untuk televisyen, saya lebih tahu tentang drama dan penulisan skrip.
“Kalau program televisyen, saya bukan orang yang paling sesuai untuk memberikan komen kerana saya bukan penerbit. Saya lebih banyak terlibat dalam bidang drama dan penulisan,” katanya.
Dalam pada itu, Rina yang pernah berlakon sebelum ini berkata, penglibatannya dalam bidang lakonan berakhir sekitar awal 2000 sebelum dia memilih untuk memberi tumpuan kepada penulisan skrip.
“Saya berlakon sampai awal tahun 2000 sahaja. Selepas itu, saya memang tak berlakon lagi. Saya mula menulis skrip sekitar awal 2006.
“Selepas itu, saya lebih fokus kepada penulisan skrip dan juga pengarahan drama. Saya pernah mengarah juga, tetapi sekarang saya lebih banyak menulis sahaja,” katanya.
Menurut Rina, keputusan untuk meninggalkan bidang lakonan bukanlah sesuatu yang sukar kerana sejak awal lagi dia sememangnya lebih berminat untuk berkarya di belakang tabir.
“Memang dari dulu saya tak begitu berminat untuk berlakon. Saya lebih suka menulis. Sebenarnya saya seorang yang pemalu dan saya tak begitu selesa berada di hadapan kamera.
“Saya lebih selesa berada di belakang kamera. Sebab itu saya pilih untuk menulis,” katanya.
Bercerita mengenai pengalaman sebagai pelakon, Rina berkata, sepanjang berada dalam industri seni, dia tidak banyak membintangi drama mahupun filem.
“Tak banyak pun. Kalau drama, memang ada beberapa, tetapi tak banyak. Filem pun hanya satu, iaitu Tangkai Jering.
“Yang orang mungkin lebih ingat ialah Pop Kuiz, sebab program itu memang lama ditonton di televisyen. Selepas itu, saya memang fokus kepada penulisan,” katanya.










