Kontraktor dituduh tipu peladang buah tin

Kontraktor dituduh tipu peladang buah tin

TERTUDUH yang juga seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan menipu pembinaan projek pembangunan agro tourism ladang buah tin. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu pembinaan projek pembangunan agro tourism ladang buah tin bernilai hampir RM1 juta.

Tertuduh yang juga seorang kontraktor, Muhammad Shaiful Omar, 35, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Mohamad Balok, 53, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan menyiapkan projek pembangunan agro tourism di ladang buah tin di Solok Duku, Masjid Tanah dalam tempoh lapan bulan.

Tindakan itu menyebabkan mangsa bertindak menyerahkan sejumlah RM801,000 kepada tertuduh bagi tujuan pembinaan kafe dan 30 unit bilik resort, dengan pembayaran dibuat secara berperingkat oleh mangsa antara 21 November 2021 sehingga 27 April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan pertuduhan menjalankan dan menyiapkan kerja-kerja pembinaan projek dengan tidak memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) bersama Seksyen 29 Akta CIDB 1994 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor V. Somsundram mencadangkan jaminan RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Zulfahmi Abu Bakar memohon jumlah dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali dalam sebulan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya