Anggota JPJ mengaku tak salah terima suapan syarikat pengangkutan

Anggota JPJ mengaku tak salah terima suapan syarikat pengangkutan

CHE Fazdlie Izwan Che Johari (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 36, membuat pengakuan itu sejurus selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka didakwa menerima wang berjumlah RM700 tanpa balasan daripada seorang pengurus syarikat sebagai dorongan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori syarikat berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu jaminan rendah dengan alasan telah membayar jaminan sebanyak RM12,000 terhadap lapan pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya bulan lalu, selain perlu menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil serta telah ditahan kerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN