Kes dokumen palsu darjah kebesaran Melaka, seorang lagi suspek direman - Utusan Malaysia

Kes dokumen palsu darjah kebesaran Melaka, seorang lagi suspek direman

SUSPEK tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh, Melaka dengan memakai baju lokap SPRM dan diiringi pegawai penguatkuasa. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengurus syarikat kontraktor direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkenaan kegiatan mengemukakan dokumen palsu, Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek lelaki berusia 56 tahun itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan diiringi pegawai penguatkuasa.

Menurut jurucakap SPRM, suspek ditahan pukul 3 petang semalam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM di Alai di sini.

Individu tersebut ditahan selepas dipercayai bersubahat dengan seorang pengurus syarikat pelancongan bergelar Datuk dalam kegiatan mengemukakan dokumen palsu, Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka.

Dokumen itu dipercayai bertujuan mendaftarkan diri sebagai ahli majlis tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang wanita bergelar Datuk dan penjawat awam direman SPRM selepas dipercayai terlibat dalam sindiket dokumen palsu, Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Suspek berusia 30-an dan 40-an itu ditahan pada 18 Oktober 2022.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya